1.0 PENGENALAN
Salah
satu daripada kategori kanak-kanak keperluan khas yang telah
dikenalpasti ialah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Pelajar
bermasalah pembelajaran merupakan golongan kanak-kanak berkeperluan khas
yang paling ramai. Dalam bab ini, kita membincangkan dengan lebih
mendalam mengenai pelajar bermasalah pembelajaran.
Tumpuan
ialah kepada definisi dan sebab-sebab berlakunya masalah pembelajaran.
Juga dibincangkan ialah ciri-ciri dan kaedah mengenalpasti pelajar
bermasalah pembelajaran. Akhirnya, tumpuan ialah kepada cara menempatkan
pelajar-pelajar ini dan kaedah pengajaran yang sesuai bagi mereka.
2.0 DEFINISI MASALAH PEMBELAJARAN
2.1 Individual with Disabilities Education Act (IDEA), 1997
Masalah
pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih
daripada proses asas psikologi melibatkan pemahaman atau penggunaan
bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang dihadapi
mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikr, bertutur dan membaca yang
tidak sempurna. Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran
akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor,
kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran,
budaya atau ekonomi.
2.2 The National Joint Committee on Learning Disabilities (NJCLD), 1990
Mentakrifkan
masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada satu kumpulan masalah yang
pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata mendengar, bertutur,
membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesai masalah matematik.
Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan
boleh berlaku pada bila-bila tahap umur. Masalah mengawal tingkah laku,
persepsi dan interaksi sosial mungkin wujud bersama masalah pembelajaran
tetapi ia sendiri tidak akan menyebabkan kepada berlakunya masalah
pembelajaran. Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan
ketidakupayaan lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau
gangguan emosi.
Secara
kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran terdiri daripada mereka
yang kurang kemampuan belajar disebabkan oleh masalah pemahaman,
pertuturan, penulisan dan penyelesaian masalah matematik. Ini tidak
termasuk masalah pembelajaran disebabkan oleh kerencatan mental, kurang
upaya penglihatan, pendengaran, gangguan emosi dan tingkah laku.
3.0 SEBAB-SEBAB MASALAH PEMBELAJARAN
Masalah pembelajaran boleh terjadi disebabkan kecederaan otak, keturunan, ketidakseimbangan biokimia dan persekitaran.
3.1 Kecederaan Otak
Kecederaan otak boleh
berlaku sebelum kelahiran bayi di mana ibu yang mengandung mengambil
alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau merokok. Kecederaan
otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi kekurangan
oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan
demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan
dan jangkitan seperti meningitis.
3.2 Keturunan
Terdapat
banyak kajian menunjukkan, keturunan merupakan salah satu sebab kepada
masalah pembelajaran. Penyelidik mendapati bahawa kira-kira 30-50%
kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran apabila mempunyai ibu atau
bapa atau kedua-duanya menghadapi masalah pembelajaran. Ini menunjukkan
masalah pembelajaran boleh diwarisi daripada keturunannya.
3.3 Ketidakseimbangan Biokimia
Ketidakseimbangan
biokimia juga boleh menyumbang kepada masalah pembelajaran.
Ketidakseimbangan bahan kimia dikatakan boleh menjadi punca kepada
masalah hiperaktiviti yang boleh mengakibatkan kesukaran memberi tumpuan
ke atas kerja sekolah.
3.4 Faktor Persekitaran
Selain
kecederaan otak, keturunan dan ketidakseimbangan biokimia, faktor
persekitaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah pembelajaran.
Persekitaran yang serba kekurangan kerana kemiskinan seperti pemakanan
yang tidak seimbang, keadaan rumah yang tidak selesa, persekitaran yang
kotor dan bising, hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak mesra atau
tidak mencukupi boleh menimbulkan masalah pembelajaran di kalangan
kanak-kanak.
Terdapat
bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah yang tidak menerima
pengajaran yang sistematik, telah memudaratkan lagi masalah pembelajaran
yang dihadapi. Oleh itu, pengajaran yang sistematik patut diaturkan
untuk semua pelajar bermasalah pembelajaran.
4.0 Ciri-ciri Pelajar Bermasalah Pembelajaran
Ciri-ciri pelajar bermasalah pembelajaran boleh dibahagikan kepada ciri kognitif, akademik, sosial dan emosi dan tingkah laku.
4.1 Ciri Kognitif
Pelajar
bermasalah pembelajaran kebiasaannya lemah dalam pengamatan termasuklah
tumpuan, perhatian, ingatan dan pemikiran atau pengolahan. Pelajar
bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam mengaitkan
pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru atau sukar mengaplikasikan
pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran.
4.2 Ciri Akademik
Ciri
akademik berlaku di kalangan pelajar masalah pembelajaran dalam masalah
membaca, lisan, tulisan dan matematik. Ramai pelajar masalah
pembelajaran menghadapi masalah membaca. Paling nyata ialah kesukaran
memahami apa yang dibaca dan kesukaran mengenal pasti perkataan. Istilah
yang sering dikaitkan dengan masalah membaca ialah disleksia.
Selain
membaca, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam
lisan seperti fonologi, morfologi, susunan kata dalam ayat (syntax)
dan pragmatik. Pelajar yang lemah dalam lisan gagal memahami perkataan
yang di sampaikan sekaligus sukar melibatkan diri dalam perbualan atau
interaksi dengan kawan dan sebagainya.
Masalah
kemahiran menulis di kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah
kesukaran memegang pen atau penselketika menulis dengan tangan, menulis
huruf yang berlainan saiz, kelemahan dalam mengeja, tidak menggunakan
tatabahasa yang betul, organisasi perenggan yang tidak teratur dan
kurang menggunakan struktur ayat yang kompleks.
Secara
umum, pelajar kemahiran menulis pelajar bermasalah pembelajaran adalah
lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka yang normal atau
biasa. Bagaimana pun, kemahira menulis pelajar bermasalah pembelajaran
boleh dipertingkatkan jika intervensi awal dilaksanakan dan kaedah
mengajar yang teratur dan sistematik diperkenalkan.
Bidang
terakhir di mana pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran
untuk belajar ialah matematik. Masalah ini juga boleh di istilahkan
sebagai diskalkulia yang merujuk kepada ketidakupayaan dalam kemahiran
matematik. Secara umumnya diskalkulia bermakna ketidakupayaan untuk
mengira. Antara masalah matematik yang berlaku di kalangan pelajar
bermasalah pembelajaran ialah tidak menguasai sepenuhnya dalam pengiraan
asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Selain itu, pelajar
bermasalah pembelajaran sukar membuat anggaran dan pengukuran seperti
saiz, nilai, wang, jarak atau cecair.
4.3 Ciri Sosial dan Emosi
Memahami
ciri sosial dan emosi pelajar bermasalah pembelajaran adalah sama
penting dengan memahami ciri kognitif dan akademik mereka. Bagaimana
pelajar bermasalah pembelajaran melihat diri mereka dan orang lain serta
bagaimana mereka mahir dalam interaksi sosial secara signifikannya
dapat mempengaruhi mereka berjaya dalam pembelajaran. Tambahan
pula,kejayaan mereka dalam hidup bergantung kepada kemampuan mereka
berinteraksi dengan orang lain secara berkesan.
4.3.1 Kemahiran Sosial yang Lemah
Pelajar
yang mempunyai kemahiran sosial yang lemah didapati sukar untuk mencari
kawan, diketepikan oleh pelajar lain dan tidak kerap berinteraksi
dengan guru. Mereka kurang mempunyai teman-teman dari kalangan
kanak-kanak biasa disebabkan mereka tidak berupaya untuk mengetahui
kenapa dan bagaimana untuk menjalin serta mengekalkan hubungan.
Adakalanya pelajar bermasalah pembelajaran tidak mempunyai kemahiran
untuk menolak tekanan rakan sebaya yang negatif serta tidak dapat
mengenalpasti model rakan sebaya yang baik untuk ditiru.
Akibatnya, harga-diri (self-esteem)
mereka pun rendah yang mungkin disebabkan dengan kekecewaan usaha
mereka berinteraksi dengan orang lain. Kadang kala hal ini menyebabkan
mereka bertingkah laku negatif dan menyakiti orang lain.
4.3.2 Motivasi
Motivasi
merupakan keinginan untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Kebanyakan
pelajar bermasalah pembelajaran kurang bermotivasi untuk belajar.
Apabila pelajar bermasalah pembelajaran berjaya dalam peperiksaan,
mereka menganggap sebagai bernasib baik atau ujian senang, tetapi
apabila gagal dalam ujian, mereka menganggap diri mereka bisu (dumb).
Keadaan ini menunjukkan betapa lemahnya motivasi mereka.
4.4 Ciri Tingkah Laku
Sebahagian
pelajar bermasalah pembelajaran mempunyai masalah sukar memberi
tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut arahan
dan sebagainya. Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini di
sebut masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (ADHD). Masalah tingkah laku
ini akan mengganggu kelas dan tidak menyenangkan bagi guru, ibu bapa dan
pelajar lain. Masalah tingkah laku ini juga boleh mengganggu hubungan
sosial dan memberi kesan negatif terhadap penilaian kendiri pelajar.
5.0 JENIS-JENIS PENAKSIRAN
Untuk
mengenal pasti sama ada seorang pelajar itu bermasalah pembelajaran,
penaksiran perlu dilakukan. Antara kaedah penaksiran yang digunakan
ialah penaksiran formal, penaksiran dalam bilik darjah dan response to intervention (RTI).
5.1 Penaksiran Formal
5.1.1 Ujian Rujukan Norma
Ujian Rujukan Norma ialah ujian
yang mengukur pencapaian seseorang individu untuk dibandingkan dengan
pencapaian individu lain dalam sesuatu kumpulan. Ia merupakan suatu
ujian yang digunakan untuk menentukan prestasi seseorang individu ke
atas sesuatu tugasan supaya pencapaian individu tersebut boleh
dibandingkan dengan pencapaian individu lain yang melakukan tugasan yang
sama.
5.1.2 Ujian Rujukan Kriteria
Ujian Rujukan Kriteria adalah ujian
mengukur pencapaian individu dan dibandingkan dengan kriteria yang
telah ditentukan. Contohnya, ujian memandu di mana pelajar perlu
menunjukkan kecekapan yg telah ditetapkan sebelum dia diluluskan.
Prestasi seseorang itu tidak akan dibandingkan dengan prestasi orang
lain. URK ini boleh dibandingkan dengan satu kriteria yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
5.2 Penaksiran dalam Bilik Darjah
5.2.1 Pengukuran Berasaskan Kurikulum (CBM)
Istilah Pengukuran Berasaskan Kurikulum ( Curriculum Base
Measurement) difahamkan secara umumnya sebagai penaksiran prestasi
pelajar berasaskan kurikulum tempatan. Item yang digunakan dalam
penaksiran diambil dari kurikulum sekolah.
CBM
digunakan untuk membantu guru menentukan apa yang hendak diajar pada
masa akan datang, memudahkan penilaian kemajuan pelajar di mana program
penilaian berasaskan kurikulum berperanan untuk melihat kaedah dan bahan
pengajaran yang digunakan adalah bersesuaian. Ia dikatakan sah dan ada
kebolehpercayaan di mana ia dikaitkan dengan isi kandungan serta
dikatakan ada kebolehpercayaan apabila kita mengulangi ujian ke atas pelajar yang sama. Namun begitu CBM ini juga berperanan meningkatkan
tahap pencapaian pelajar kerana ia diuji berdasarkan kurikulum,
berkesan untuk mengetahui apa yang hendak dilihat dan murid mengetahui
apa yang hendak dipelajari dan apa yang telah dikuasai. Di samping itu
juga berkesan untuk merekod kemajuan pelajar.
5.2.2 Portfolio
Portfolio merupakan satu folder
atau fail yang mengandungi bahan-bahan kutipan dikumpulkan untuk
sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan atau menerangkan
perkembangan kognitif bagi si penyedianya tentang sesuatu tugasan yang
pernah diarahkan. . Ia merupakan satu koleksi produk iaitu sampel kerja
kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam satu fail. Koleksi produk ini
menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh pelajar. Inferens juga boleh
dilakukan ke atas pelajar dari segi kebolehan seseorang pelajar pada
masa depan. Contoh-contoh produk yang boleh dikumpulkan ialah tulisan,
lukisan, lembaran kerja dan sebagainya.
5.2.3 Pemerhatian
Bagi
kanak-kanak yang dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran,
pemerhatian akan dilaksanakan untuk mengetahui situasi sebenar
kanak-kanak tersebut secara semula jadi. Ia dilakukan secara tidak
disedari supaya kanak-kanak tidak berpura-pura di mana fokus pemerhatian
adalah untuk mengetahui tahap kefungsian kanak-kanak secara semula jadi
tanpa diganggu oleh faktor-faktor lain. Penilaian boleh dibuat semasa
individu terlibat dalam aktiviti-aktiviti hariannya seperti bermain,
bekerja dalam kumpulan dan penglibatannya dalam aktiviti secara
berkumpulan dan sebagainya. Bentuk ini sukar diinterpretasikan kerana ia
hanya merekodkan apa yang dilihat sahaja dan orang lain mungkin
memberikan interpretasi yang sama atau berbeza.
5.4 Response To Intervention (RTI)
Response
To Intervention (RTI) digunakan untuk mengenalpasti pelajar bermasalah
pembelajaran bagi menentukan intervensi awal. Ini dapat dicapai melalui
penilaian respon pelajar mencapai matlamat. Terdapat 3 peringkat model
RTI:
1. Penyaringan pelajar berisiko (screening for at-risk students)
2. Memantau tanggapan/ respon kepada pengajaran (monitoring of responsiveness to instruction)
3. Penentuan arah tindakan (determination of the course of action)
6.0 CADANGAN LATIHAN PENDIDIKAN BAGI PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN
Pelajar
bermasalah pembelajaran di dapati sukar menyusun maklumat, tidak cekap
menggunakan pengetahuan sedia ada dan tidak dapat menggunakan strategi
pembelajaran dengan berkesan. Terdapat 2 pendekatan dalam pengajaran
pelajar bermasalah iaitu pengajaran secara langsung dan strategi
pengajaran.
6.1 Pengajaran secara Langsung
Guru
hendaklah mengajar secara langsung menurut urutan yang tersusun. Guru
perlu menggunakan banyak contoh dan ilustrasi untuk menerangkan sesuatu
konsep. Pengajaran hendaklah dibahagikan kepada langkah-langkah kecil
dan disampaikan langkah demi langkah. Guru juga perlu sentiasa memberi
maklum balas sama ada pelajar berjaya menguasai sesuatu butir maklumat.
Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang disusun hendaklah menarik dan
melibatkan pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.
6.2 Strategi Pengajaran
Pelajar
bermasalah pembelajaran tidak menggunakan strategi pembelajaran yang
berkesan. Strategi pembelajaran didefinisikan sebagai pendekatan yang
digunakan oleh seseorang dalam menghadapi sesuatu tugas pembelajaran. Ia
melibatkan individu itu mengetahui apa yang harus dilakukan, bagaimana
hendak dilakukan dan dapat mengesan sejauh mana dia berjaya melakukan.
Antara strategi pembelajaran yang perlu diajar ialah membuat nota,
menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu kefahaman, strategi
mendengar, penyelesaian masalah dan sebagainya.
7.0 Pilihan Penempatan Pendidikan
Penempatan
pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran pada masa kini
merupakan salah satu isu yang paling berkontroversi. Tempat di mana
seseorang pelajar bermasalah pendidikan itu menerima pembelajaran
sebenarnya akan memberi kesan kepada sikap, pencapaian dan perkembangan
sosial mereka. Terdapat beberapa pilihan penempatan yang biasanya
ditawarkan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran, antaranya:
7.1 Bilik Darjah Biasa
Pelajar
bermasalah pembelajaran dan pelajar biasa di tempatkan di dalam bilik
darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan perancangan yang teliti,
kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya penempatan
pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk
memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar
bermasalah pembelajaran. Guru pendidikan khas akan bekerjasama dengan
guru biasa dalam pengendalian kelas. Guru pendidikan khas dan guru biasa
akan berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.
7.2 Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat
Guru
pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa dengan kaedah
mengajar pelajar bermasalah pembelajaran. Dia membantu dalam penyusunan
persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan pengajran
dan bahan serta membina prosedur penilaian dan pengredan pelajar
bermasalah pembelajaran. Dia juga mengumpul maklumat, membuat
pemerhatian dan mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar
bermasalah pembelajaran. Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru
biasa.
7.3 Bilik Sumber
Pelajar
bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah biasa akan pergi ke
bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu
mereka dalam pembelajaran. Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan
pengajaran pemulihan disediakan. Bilik sumber membolehkan pelajar
bermasalah pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang
spesifik, pada masa yang sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan
rakan sebaya di sekolah. Guru bilik sumber mestilah seorang yang
mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat bekerjasama dengan guru biasa,
membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah laku, membina pengajaran
individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa dan keluarga.
Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk
disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.
7.4 Bilik Darjah Berasingan
Dalam
kelas berasingan, bilangan pelajar bermasalah pembelajaran adalah kecil
(dicadangkan tidak melebihi 8 orang pelajar pada satu-satu masa).
Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah pembelajaran
sahajaatau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada pelajar
yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan. Biasanya, pelajar
bermasalah pembelajaran, menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental
ditempatkan dalam satu kelas. Kelas berasingan mempunyai beberapa
kelebihan. Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang
lebih baik berbanding
pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa. Ini
berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa
kriteria yang tidak dapat
dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran. Sesetengah pelajar ini
juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan berbanding
kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan bagi
pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan pengajaran yang lebih bertumpu.
8.0 KESIMPULAN
Secara
kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran
dalam pembelajaran disebabkan oleh faktor psikologi dan faktor
persekitaran. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi masalah dalam
kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku.
Penaksiran pelajar bermasalah pembelajaran boleh lakukan melalui beberapa kaedah seperti RTI yang digunakan untuk mengenalpasti
kewujudan masalah pembelajaran. Selain itu, penaksiran formal dan
penaksiran tidak formal juga boleh digunakan. Terdapat beberapa
penempatan yang ditawarkan serta kaedah pengajaran yang sesuai kepada
pelajar bermasalah pembelajaran bagi memastikan pembelajaran mereka
dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
No comments:
Post a Comment